Sertai survey untuk faedah bersama.

Survey atau bancian ini terbuka kepada semua warga SK Merbau Miri, baik guru, staf sokongan, pelajar dan para ibubapa. Ini penting bagi membantu pihak sekolah memberikan khidmat yang terbaik dan selesa kepada para pelajar terutamanya. Jadi sertailah bancian atau blog poll yang diadakan. Semoga ianya bermanfaat untuk semua warga SK Merbau Miri.

Adakah anda tahu peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling ?

Selasa, 30 Mac 2010

Program Kecemerlangan UPSR 2010 ( Teknik Menjawab Soalan )

Tempat : Auditorium Pustaka Miri
Tarikh : 30 - 31 Mac 2010
Masa : 30 Mac, 8.00 pg - 12.30 tgh
31 Mac, 8.00 pg - 4.00 tgh

Sasaran : Semua pelajar Tahun 6 Sk Merbau 2010
Personalia : Guru Bimbingan dan Kaunseling , Ketua Panitia MP Teras, Penyelaras Tahun 6


Pelajar menunggu untuk masuk ke dalam auditorium Pustaka Miri

Champions Never Quit !


Kuartet 4X100 meter L12 SK Merbau Miri ( gangsa ) dari kiri Malvin, Darrel, dan Farouk . Kanan sekali adalah Nathaniel, pemenang emas 100 meter L12.

Tahniah, walaupun dah agak basi ( ni kes lambat update blog ).

Di dalam mengharungi kehidupan, kita sentiasa diuji. Adakalanya kalah, adakalanya menang. Tetapi menang dan kalah itu ada hikmahnya. Cuma perlu muhasabah diri, dan memetik kata Nabil, lu pikirlah sendiri. Yang penting, Jangan Putus Asa, Never Give Up.

Pemenang atau juara itu bukanlah semestinya sentiasa memegang nombor 1, atau mendapat banyak "A", tetapi pemenang itu juga bermaksud seseorang itu cekal dan mampu bangkit dari kekalahan atau kegagalan yang dialami.

Champions Never Quit!

Isnin, 29 Mac 2010

Kenangan Di SK Pujut Corner Miri


Tanggal 27 Mac 2010 - Saya menerima jemputan sebagai penceramah di SK Pujut Corner Miri, antara sekolah lama di Miri ( mula-mula segan, tetapi mengenangkan kemahiran itu kita kena praktis dan amalkan, saya terima jemputan tersebut ). Melangkah masuk ke SK Pujut Corner Miri memberi satu persepsi dan pemandangan yang agak berbeza, al-maklum SKPCM merupakan antara sekolah yang bersejarah, penuh dengan binaan dan bangunan yang mungkin berusia lebih tua dari saya sendiri.

Audiens kali ini merupakan pelajar dari 3 kelas utama dari 5 buah kelas tahun 6. Berkenalan dengan murid yang baru dikenali memberikan seribu satu rasa, rasa apa? Rasa gemuruh ada, segan ada, seronok pun ada. Tetapi, sebagai Guru Bimbingan yang profesional, bersama GBK Affendi ( SKTDMUIP ), kami sahut cabaran, dan bersama melakukan "eksploremosi" bersama pelajar SKPCM pada hari tersebut.


Jemputan kali ini, agak istimewa secara peribadi , kerana :

1. SKPCM membuktikan bahawa beberapa kekurangan yang ada jangan diambil peduli, bahkan harus terus berusaha dan kreatif demi melaksanakan tugas dengan sebaiknya. Ingat, tugas adalah amanah.

Terima kasih GBK dan warga SKPCM atas jemputan, sememangnya setiap jemputan itu punya keistimewaan dan keunikan masing-masing. Semoga kita semua dapat manfaatnya. Terima kasih SKPCM.

Ahad, 7 Mac 2010

Pengaruh Ibubapa Terhadap Olah Anak-anak

Pada majlis perjumpaan ibubapa pelajar PROTIM, saya telah memberikan ceramah ringkas berkenaan dengan bagaimana kuatnya pengaruh ibubapa terhadap perkembangan anak-anak, terutamanya terhadap aspek nilai dan jati diri yang dipegang oleh seseorang anak itu. Idea ini timbul setelah membaca buku "Ibu Kool, Bapa Hebat" yang dikarang oleh Jamilah Samian.
Biarlah saya catatkan disini antara isi-isi ceramah tersebut, moga boleh menjadi iktibar bagi kita semua ini yang bergelar ibubapa, kerana di dalam zaman yang serba mencabar ini, kita perlukan ilmu bagi memberikan nilai yang terbaik kepada anak-anak kita. Saya berkongsi pengalaman, melalui pemerhatian dan pengalaman bersama ibubapa saya sendiri, di dalam membesarkan kami 4 orang adik beradik, the fantastic FOUR. Kenapa ? Bagi saya, ibubapa saya telah mencapai kecemerlangan di dalam mendidik kami untuk mencapai prestasi kami sekarang, lihat dari hasil berikut :

Abg Sulung - Ijazah Sarjana Muda - Jurutera JKR
Kakak - Ijazah Sarjana Muda - Pegawai Kewangan Syarikat Swasta
Adik Bongsu - Mengikuti Pengajian Peringkat Sarjana, Pensyarah UiTM

Not that bad, bapa saya, seorang pengetua sekolah perubatan, anak kepada seorang petani kampung , dan ibu saya hanya seorang pembantu jururawat ( kedua-duanya telah bersara )

1. Sifat anak-anak adalah apa yang ibubapa tunjukkan / amalkan

Ibubapa saya menekankan solat 5 waktu, saya masih ingat satu hari semasa seronok bermain tengah panas, ibu menjerit panggil balik ke rumah. "Sudah masuk waktu Zohor, solat agik", kata ibu. "Saya berimamkan kamu hari ni, cepat tukar pakaian dan solat", katanya lagi. So, jadilah saya imam Zohor pada hari itu. Ketika itu saya di sekolah rendah. Selain itu ibubapa saya juga mengamalkan solat maghrib secara berjemaah, masa inilah kami berkumpul bersama sebagai satu keluarga menunaikan solat bersama-sama. Bab mengaji, kami semua Khatam Al-Quran sebelum masuk ke sekolah menengah. Ibubapa saya bukan orang alim atau ahli agama ( tetapi sentiasa memperbaiki ibadah mereka saya lihat ), tetapi perkara yang asas ini mereka beri penekanan. Kami masih boleh menonton tv, bermain , tetapi apabila tiba perkara yang asas ini, mereka akan utamakan.

Ibubapa saya juga bukanlah orang yang berkata kasar terhadap anaknya, marah itu memang ada, tetapi perkataan kasar tidak digunakan. Keduanya mempunyai sifat yang saling melengkapi antara satu sama lain, ibu - garang, bapa - penyabar. Itu yang saya maksudkan saling melengkapi. Jika ibu saya dah mengamuk kerana kami buat salah atau berolah ( Tuhan sahaja tahu ), bapa akan diam dan perhatikan sahaja kami dihukum. bayangkan kalau kedua-duanya tag-team macam wrestling, boleh rosak emosi kami 4 beradik. Keduanya mementingkan disiplin dan adab, antara bahan bantu untuk mendisiplinkan kami adalah rotan dari mak, dan Tom's Pizza dari bapa. Saling melengkapi bukan ?

Sebagai ibubapa, kita janganlah meminggirkan emosi anak-anak, kerana semakin mereka membesar, emosi mereka juga berkembang, jika dikasihi, mereka akan membesar dengan mempunyai sifat pengasih dan penyayang. Jika selalu dikasari dan dimalukan pula, mereka mungkin akan membesar dengan sifat suka berdendam dan kasar tingkah lakunya, semuanya atas izin Tuhan.


2. Positif, Menyokong dan Menasihati

Kami, bolehlah saya katakan kurang komunikasi dengan ibubapa, maksud disini ialah kami jarang berkongsi perasaan dengan mereka ( yang pastinya saya, bila dah berkeluarga baru banyak saya berbicara ).Tetapi, yang pastinya, dalam diam itu mereka sentiasa menyokong dan bersikap positif. Keperluan pelajaran adalah utama, kalau untuk pelajaran , bayaran yuran tidak pernah tertunggak, pakaian sekolah kalau awal tahun memang berganti, makanan berkhasiat serba cukup, dan lain-lain lagi keperluan asas yang utama. TV game, basikal, bola, alat permainan tolak tepi, tidak penting. Kami, kalau nak bermain, lompat sahaja parit belakang rumah, besar-besar alat permainan ( jongkang-jongket, tempat bergantung, gelungsor, dan entah apa lagi permainan yang tak saya tahu namanya ). Bapa terutamanya, kalau kami buat salah, beliau sekadar menasihati, nada suara akan bergantung kepada kes. Kalau kes kecil, suara perlahan, dan kalau kes besar, ehem ehem , merahlah telinga. Ibu, ehem ehehm, makan roti panjanglah.. :)

Dari segi material, sebagai contoh, apabila saya diterima masuk ke tahun 1 di UNIMAS, ibubapa saya berkorban membelikan sebuah komputer, berharga RM 3,600. Kalau zaman sekarang, kita boleh beli 2 komputer riba yang berkuasa tinggi dengan harga itu. Pada tahun 1999, harga sedemikian adalah untuk desktop sahaja, beserta pencetak dan pengimbas. Tanpa banyak soal, untuk kami menimba ilmu, ibubapa saya belikan, Selain itu disambungkan juga laluan internet bagi memudahkan kami melakukan tugasan yang memang satu kemestian bagi semua pelajar yang menuntut di universiti.


Adik saya, semasa kecil bukanlah tergolong di dalam pelajar yang cerdas. Berpewatakan lucu, mudah didekati, mesra alam dan manusia dan haiwan, menjadikan perhatiannya dalam pelajaran bukanlah sesuatu yang utama. Seringkali mendapat nombor-nombor besar dalam ujian tidak menjadi hal buatnya. Namun, disini saya memerhatikan sungguhpun demikian, ibubapa saya tetap kool, bukan tidak peduli, namun tenang. Siapa tahu apa yang mereka doakan di rumah dan semasa menunaikan haji di Mekah ? Tiada kata kasar terbit dari bibir, tiada juga direndahkan adik saya ini di hadapan kami adik-beradik. Namun, masa mengubah segalanya. Entah bila adik saya akhirnya menunjukkan kesungguhan untuk maju dalam akademik. Dipendekkan cerita, insan yang dahulunya mempunyai nombor-nombor besar dalam ujian, akhirnya menjadi pensyarah di UiTM, dan melanjutkan pelajara ke peringkat Sarjana, mengalahkan abang-abang dan kakaknya yang mungkin satu ketika dulu, senyum eksen kerana nombor mereka semasa ujian jauh lebih kecil. Ini semuanya berkat sokongan yang tidak berbelah bagi dari ibubapa kami, tak banyak cakap pun, tapi kami tahu, mereka ambil berat dan sentiasa mendoakan.

Kesimpulan

Menjadi ibubapa, yang utamanya adalah tauladan dari mereka sendiri. Jika nakkan anak berbudi pekerti mulia, bersikap positif dan beramal soleh, maka kita kena tunjukkan bagaimana caranya.

Kepimpinan melalui tauladan. Kepimpinan melalui tauldan. Kepimpinan melalui tauldan.

Sabtu, 6 Mac 2010

Perjumpaan Ibubapa Kelas Protim ( 2 - 5 )


Program : Perjumpaan Ibu bapa Pelajar Kelas PROTIM ( 2-5 )
Tarikh : 6 Mac 2010
Masa : 7.30 - 11.00 pagi
Tempat : Perkarangan Kantin SK Merbau Miri

Objektif :

Medan untuk membentuk persefahaman antara ibubapa dengan pihak sekolah, selain itu berkongsi maklumat dan pengalaman berkenaan aspek pelajar PROTIM agar kerjasama antara kedua belah pihak lebih mantap.


Cikgu Mahzan dan GBK Zamri melakukan perbincangan dan konsultasi dengan salah seorang penjaga


Khamis, 4 Mac 2010

Program Berfokus ( Muhasabah Diri )


Program ini dilaksanakan melihatkan kepada sikap tanggungjawab yang ditunjukkan oleh pelajar. Masih ramai tidak menyedari bahawa mereka ini ke sekolah dengan amanah dari keluarga untuk mengubah nasib keluarga. Apakah sekadar hadir kerana ibubapa suruh, nakkan duit belanja sekolah RM0.50 - RM 2.00, atau sekadar nak bermain dengan kawan-kawan.


Di dalam program ini, para pelajar di bawa mengembara dan meneroka hati dan perasaan mereka. Dalam erti kata lain, muhasabah diri. Pelajar mempamerkan kelunakan hati, dan kesedaran terhadap aspek kasih sayang dan kekeluargaan. Diharapkan agar muhasabah yang dilalui sentiasa diingat oleh pelajar agar mereka tidak tergolong di dalam mereka yang mensia-siakan masa hadapan.



Sasaran : Kelas-kelas rendah prestasi akademik, kelas-kelas rendah disiplin, kelas-kelas yang menunjukkan sikap meninggi diri dabn kurang bekerjasama

Durasi : 1 jam 3o minit
Tempat : Bilik AVA SK Merbau Miri

Selasa, 2 Mac 2010

Peperiksaan PKSR 1 / UPSR 2 / PTH 5 (1)


Bermula pada minggu ini ( 2 - 4 Mac 2010 ), para pelajar akan menduduki peperiksaan PKSR 1, UPSR 2, dan PTH5 (1). semoga para pelajar tidak mensia-siakan peluang ini untuk menguji kefahaman diri sendiri terhadap apa yang telah dipelajari.

Menduduki peperiksaan adalah kemuncak penghayatan seseorang terhadap ilmu yang telah dipelajarinya, untuk menguji adakah dia telah memahami pelajaran yang disamapaikan guru dan mampu mengaplikasikannya bukan sahaja dalam ujian dan peperikasaan, tetapi yang penting adalah dalam kehidupan sebenar kelak.



Bagi guru-guru pula, inilah medan untuk menganalisis dan muhasabah diri, dari aspek pedagogi terutamanya. Yang penting, pelajar dan guru-guru haruslah sentiasa melakukan muhasabah diri dengan kerap kerana muhasabah diri mampumemberikan keinsafan dan mendidik seseorang itu untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan amanah.

p/s : Jerebu pada hari ini ( 2 Mac 2010 ) amat buruk. Jarak penglihatan dianggarkan hanya setakat 50 meter. Banyakkan berdoa dan minum air putih.

Sambutan Maulud Nabi


Sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W telah pun dirayakan . Pihak sekolah telah menyertai perarakan ini yang bertempat di Dewan Suarah Miri, tanggal 26 Febuari 2010. Ia bermula seawal jam 6.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 11 pagi.

p/s : Bergaya dengan batik rasmi sekolah yang baru.