Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan
Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang
perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama.
Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas
di dalam ayat 183 dari surah Al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan
keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang
bertanya kepada Nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat
Lailatul Qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa
meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala Ramadhan kerap
kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurangan perihatinan umat Islam
kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan
kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal
puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja,
merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau
melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari
itu. (Fiqh As-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama
baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di
dalam sebuah hadith, Ertinya : "Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal
puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat Al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.
Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat
keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi S.A.W. malah bercanggah
dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu
terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6
terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan
sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi S.A.W.
(Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu
lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara
waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah
ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu
mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang
sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat
di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir
sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936).
Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma
sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan
boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia
melewatkan witirnya di akhir malam.
5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang
maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah
rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keIslaman seseorang. Justeru,
'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu
menjadi 'kurus kering' pastinya.
6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas
suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang
lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding
solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi
S.A.W. bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala
menghidupkan seluruh malam.
7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah
mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang
itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan
bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana
yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka,
Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan
alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat
ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya
memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini
9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.
Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan
tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ;
Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur. Ini adalah
kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang
di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah
hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran
sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk
imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakati ulama
merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh).
(As-Siyam, DrMd'Uqlah, hlm 278)
11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata
apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya
kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga
masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah
adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi
jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi S.A.W. telah
menyebut :- Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka,
pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di
zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir :
Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan
hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir
berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753,
Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan