Sertai survey untuk faedah bersama.

Survey atau bancian ini terbuka kepada semua warga SK Merbau Miri, baik guru, staf sokongan, pelajar dan para ibubapa. Ini penting bagi membantu pihak sekolah memberikan khidmat yang terbaik dan selesa kepada para pelajar terutamanya. Jadi sertailah bancian atau blog poll yang diadakan. Semoga ianya bermanfaat untuk semua warga SK Merbau Miri.

Adakah anda tahu peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling ?

Selasa, 25 Ogos 2009

Selamat Berpuasa

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman


Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang
perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama.
Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas
di dalam ayat 183 dari surah Al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan
keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang
bertanya kepada Nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat
Lailatul Qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa
meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala Ramadhan kerap
kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurangan perihatinan umat Islam
kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan
kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal
puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja,
merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau
melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari
itu. (Fiqh As-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama
baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di
dalam sebuah hadith, Ertinya : "Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal
puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat Al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.
Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat
keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi S.A.W. malah bercanggah
dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu
terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6
terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan
sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi S.A.W.
(Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu
lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara
waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah
ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu
mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang
sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat
di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir
sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936).
Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma
sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan
boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia
melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang
maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah
rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keIslaman seseorang. Justeru,
'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu
menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas
suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang
lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding
solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi
S.A.W. bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala
menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah
mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang
itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan
bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana
yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka,
Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan
alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat
ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya
memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini


9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.
Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan
tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ;
Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur. Ini adalah
kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang
di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah
hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran
sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk
imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakati ulama
merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh).
(As-Siyam, DrMd'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata
apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya
kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga
masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah
adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi
jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi S.A.W. telah
menyebut :- Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka,
pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di
zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir :
Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan
hadith.

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir
berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753,
Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Selasa, 18 Ogos 2009

Topeng punya hal

Jadikan cerita ini tauladan ...hehehe cikgu pun pernah buat silap. Yang berwarna tu di hala kat luar...

Memandangkan wabak H1N1 yang semakin menular, maka semua pegawai di ofis saya sepakat menggunakan topeng. Memang agak merimaskan tapi sekurang-kurangnya ia mampu mengurangkan risiko mendapat jangkitan. Mula-mula pakai topeng agak kecoh jugaklah. Sebenarnya bukanlah ada apa pun.... tapi saya yang menyebabkan suasana jadi kecoh.... heheh...

Memandai-mandai saya cakap yang cara dia orang pakai topeng tu tak betul. Kata saya, sepatutnya yang berwarna hijau tu dihalakan ke muka manakala yang berwarna putih pula di sebelah luar. Masa ni masing-masing dah keliru. Tapi sorang kawan beria-ia menidakkan kata-kata saya. Kata dia, apa yang saya beritahu tu tak betul. Untuk menguatkan hujahnya, di cakap, semasa dia melalui Hospital Ampang, dia nampak doktor dan nurse juga memakai dengan yang berwarna hijau di sebelah luar. Saya pula tak nak kalah. Saya cakap, mungkin masa tu dia silap tengok... (saja nak bagi dia marah.... hehehe...)

Baru sekejap ni saya tergerak hari nak check kat internet. Saja nak tengok... cara pemakaian yang betul. Hasilnya... heheh... memang saya salah...)

Bersatu Menentang Influenza H1N1

Influenza A(H1N1) : Panduan Menilai Tahap Kesihatan Diri Di Rumah

Secara amanya demam selesema boleh sembuh dengan sendiri. Namun begitu, anda perlu mendapatkan rawatan SEGERA di hospital jika anda mengalami mana-mana tanda dan gejala berikut :

  1. Masalah pernafasan : sesak nafas, semput, warna bibir bertukar menjadi biru/ungu
  2. Batuk berdarah atau kahak berdarah
  3. Sakit dada berterusan
  4. Cirit-birit atau muntah yang kerap
  5. Demam berterusan melebihi 3 hari ataupun demam berulang selepas tiga hari pulih
  6. Berkelakuan tidak normal, keliru, kurang responsif kepada rangsangan atau sawan
  7. Rasa pening apabila berdiri
  8. Kurang kencing

Influenza A(H1N1) : Panduan Penjagaan Kesihatan Diri Di Rumah

Jangkitan virus influenza A(H1N1) telah menular di kalangan masyarakat kita dan sesiapa sahaja berisiko dijangkiti virus ini. Oleh hal yang demikian, setiap anggota masyarakat perlu mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelak virus ini dari terus merebak dan mengancam kesihatan kita semua.

Sekiranya anda berasa tidak sihat atau mengalami gejala selesema (influenza-like-illness), anda dinasihatkan untuk berada di rumah dan tidak pergi ke tempat kerja, sekolah atau mana-mana tempat awam.

Semasa berada di rumah, anda dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah berikut :

A. Penjagaan Kesihatan Diri Di Rumah

  • Jika demam makan ubat paracetamol mengikut dos yang disyorkan.
  • Demam yang telah reda tidak bermaksud anda telah sembuh tetapi boleh membuatkan anda berasa lebih selesa. Patuhi arahan pada label ubat. Dapatkan nasihat pengamal perubatan tentang ubat yang disarankan, sukatan yang sesuai, kesan sampingan ubat dan bila pengambilan perlu dihentikan.
  • Berehat secukupnya.
  • Banyakkan pengambilan cecair (termasuk air mineral, bubur, isotonik, jus buah-buahan dan sup) bagi mengelakkan dehidrasi.
  • Sekiranya mengalami tanda-tanda kecemasan seperti di Perkara (C) segera dapatkan rawatan doktor.
  • Pastikan pengudaraan yang baik di rumah (contohnya membuka tingkap di bilik, dapur, tandas dan bilik mandi).

B. Nasihat Untuk Pesakit Dan Ahli Keluarga Bagi Mengawal Jangkitan Di Rumah

  1. Amalkan adab batuk yang baik
    Pesakit mesti mengamalkan adab batuk yang betul. Gunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Cuci tangan dengan sabun dan air atau bahan pencuci tangan berasaskan alkohol. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah.
  1. Tingkatkan penjagaan kebersihan diri
    Pesakit dan semua ahli keluarga mesti mengambil langkah-langkah berikut :
    • Kerap mencuci tangan dengan sabun dan air atau bahan cuci tangan berasaskan alkohol.
    • Keringkan tangan dengan tisu atau tuala yang berasingan untuk setiap ahli keluarga.
    • Cuci pinggan-mangkuk dan peralatan lain serta permukaan-permukaan yang kerap disentuh, dengan menggunakan bahan pencuci yang biasa digunakan di rumah.
  1. Jangan kongsi peralatan peribadi
    Peralatan seperti pinggan-mangkuk dan kain seperti tuala, cadar dan selimut tidak boleh dikongsi oleh ahli keluarga pesakit. Semua barangan ini perlu dicuci dengan sabun dan air.
  1. Menjarakkan diri (Penjarakan Sosial - Social Distancing)
    • Pesakit dinasihatkan supaya tidak meninggalkan rumah sehingga mereka sembuh, lazimnya selama 7 hari.
    • Pesakit seboleh-bolehnya diminta tinggal di bilik berasingan.
    • Ahli keluarga, khususnya yang cenderung mendapat komplikasi (khususnya ibu hamil) seboleh-bolehnya hendaklah menjarakkan diri daripada pesakit sekurang-kurangnya (1) meter untuk menggelakkan jangkitan.
    • Sekiranya pesakit terpaksa keluar rumah contohnya, untuk mendapatkan rawatan beliau hendaklah memakai penutup mulut dan hidung (mask), mengamalkan adab batuk yang baik dan kerap mencuci tangan.

C. Panduan Menilai Tahap Kesihatan Diri Di Rumah

  • Secara amanya demam selesema boleh sembuh dengan sendiri. Namun begitu, anda perlu mendapatkan rawatan SEGERA di hospital jika anda mengalami mana-mana tanda dan gejala berikut :

    1. Masalah pernafasan : sesak nafas, semput, warna bibir bertukar menjadi biru/ungu
    2. Batuk berdarah atau kahak berdarah
    3. Sakit dada berterusan
    4. Cirit-birit atau muntah yang kerap
    5. Demam berterusan melebihi 3 hari ataupun demam berulang selepas tiga hari pulih
    6. Berkelakuan tidak normal, keliru, kurang responsif kepada rangsangan atau sawan
    7. Rasa pening apabila berdiri
    8. Kurang kencing

Jangkitan Influenza A(H1N1) Di Sekolah Atau Institusi

  1. Anak saya belajar di salah sebuah institusi/ sekolah yang mempunyai kejadian influenza A(H1N1), apakah yang perlu saya lakukan?

    Sekiranya institusi/sekolah anak tuan DITUTUP untuk tempoh tertentu, anak tuan hendaklah sentiasa berada di rumah dan memantau kesihatan diri. Pada masa yang sama pihak sekolah tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang aktiviti di dalam tempoh penutupan tersebut

    Jika anak tuan mempunyai gejala selesema (influenza-like-illness) yang ringan, beliau perlu sentiasa mengamalkan langkah pencegahan di rumah di samping memantau kesihatan diri menggunakan Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah. Sekiranya gejala berterusan dan bertambah teruk, anak tuan perlu mendapatkan rawatan doktor.

    Sekiranya institusi/sekolah anak tuan TIDAK DITUTUP, beliau dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan tersebut

  2. Apakah yang dimaksudkan dengan penutupan sekolah/ institusi?

    Apabila sesebuah sekolah/institusi ditutup kerana jangkitan influenza A(H1N1), ia bermakna semua pelajar termasuk guru dan lain-lain kakitangan sokongan dikehendaki untuk berada di rumah.

    Ia bertujuan bagi mencegah penularan jangkitan infuenza A(H1N1) dan seterusnya memastikan individu yang mengalami gejala-gejala influenza-like-illness untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya orang lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini.

  3. Adakah sekolah yang ditutup perlu dibasmi kuman sebelum dibuka semula?

    Tidak. Pada umumnya sekolah akan ditutup dalam tempoh seminggu. Perlu diketahui bahawa virus H1N1 ini hanya dapat bertahan di persekitaran dalam tempoh 48 jam.

  4. Kalau seseorang pesakit positif H1N1 dan telah sembuh, adakah beliau boleh hadir ke sekolah seperti biasa?

    Ya, beliau boleh hadir ke sekolah seperti biasa. Secara umumnya seseorang pesakit yang telah mendapat rawatan lengkap, tidak akan menjangkiti orang lain.

Fakta Mengenai H1N1

Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian.

Sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini, untuk membendung wabak pandemik di Malaysia (to slow down the spread), aktiviti kawalan dan pencegahan yang sedia-ada akan diteruskan melalui langkah-langkah pencegahan dan mitigasi. Langkah pencegahan dan mitigasi ini perlu diambil bagi memastikan kes-kes yang berisiko dikenal pasti dan diambil tindakan awal untuk mengelakkan komplikasi. Orang ramai adalah diminta untuk sama-sama mengambil bahagian dalam menangani pandemik ini.

Aktiviti-aktiviti yang sedia ada akan dikaji dari masa ke semasa untuk memastikan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan yang cekap dan berkesan agar penularan kes di Malaysia dapat dikurangkan ke tahap yang minima.

Apa itu Fasa Mitigasi (Peredaan)

Aktiviti mitigasi adalah tindakan membendung wabak pandemik H1N1 di Malaysia dengan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab batuk yang sesuai.

Strategi utama fasa ini adalah untuk mengurangkan kesengsaraan dan kematian akibat penyakit ini, melambatkan jangkitan penyakit dan mengurangkan kesan terhadap gangguan perkhidmatan utama.

Siapakah yang berisiko tinggi akibat jangkitan Influenza A (H1N1)?

  1. Kanak-kanak berusia kurang 5 tahun

  2. Individu berusia 65 tahun dan ke atas

  3. Kanak-kanak dan remaja (<>
  4. Wanita mengandung

  5. Dewasa dan kanak-kanak dengan asma, penyakit pernafasan kronik obstruktif, kegagalan organ, penyakit kardiovascular, hepatik, heamatologikal, neurologik, neuromuscular atau masalah metabolik seperti Diabetes Mellitus

  6. Dewasa dan kanak-kanan yang mengalami daya ketahanan yang rendah (immunosuppression)

  7. Individu yang menginap di rumah kebajikan dan institusi penjagaan yang lain

Peranan Masyarakat Semasa Fasa Mitigasi

Masyarakat perlu mengetahui cara virus ini merebak.

  • Influenza A (H1N1) virus berjangkit dari manusia kepada manusia melalui titisan cecair, (yang dikeluarkan semasa bercakap, batuk atau bersin).

  • Mana-mana individu yang berhubung rapat (lebih kurang 1 meter) dengan individu yang mengalami gejala selesema (demam, bersin, batuk, hidung berair, menggigil, sakit sendi dan lain-lain adalah berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit akibat dari titisan cecair.

  • Oleh itu, masyarakat perlu mengambil langkah pencegahan berikut:

    1. Amalkan kebersihan diri dan adab batuk yang betul

    2. Amalkan kawalan jangkitan sama ada di rumah, tempat kerja atau pengangkutan awam

    3. Peranan penutup mulut dan hidung (mask) dalam masyarakat

      • Tiada bukti kukuh mengenai keberkesanan memakai mask di tempat awam. Namun, ia telah digunakan dalam ruang yang sesak/tertutup apabila berhubung dengan individu yang mengalami gejala selesema

      • Individu boleh memakai penutup mulut dan hidung (surgical mask) di rumah dan di kalangan masyarakat, terutamanya jika mereka berhubung rapat dengan individu yang mengalami gejala influenza, contohnya semasa menjaga ahli keluarga yang sakit.

      • Penggunaan mask membolehkan individu yang mengalami gejala influenza untuk menutup mulut dan hidung mereka bagi menghalang titisan cecair dari tersebar, salah satu kaedah adab batuk yang betul/baik.

      • Surgical mask juga disyorkan kepada golongan yang berisiko tinggi apabila berada di kawasan yang sesak.

    4. Pesakit dinasihatkan untuk tinggal di rumah, elakkan berhubung rapat dengan ahli keluarga yang lain serta mengambil langkah kawalan dan pencegahan dari menjangkiti mereka yang menjaga pesakit.

    5. Sekiranya gejala influenza semakin teruk, pesakit hendaklah SEGERA mendapatkan rawatan di hospital.

    6. Sekiranya individu yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi mengalami gejala influenza, segera dapatkan rawatan awal

    7. Elakkan berada di kawasan sesak dan seboleh-bolehnya tangguhkan/ batalkan / kurangkan menghadiri majlis keramaian

    8. Dapatkan maklumat terkini mengenai situasi semasa dari sumber yang boleh dipercayai seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Soalan Lazim H1N1

1.

Apakah yang anda perlu tahu berkaitan dengan jangkitan pernafasan?

Terdapat beberapa jenis jangkitan pernafasan yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat iaitu

  • Seasonal Flu / selesema bermusim/ influenza like illness (ILI)

    1. Disebabkan oleh pelbagai jenis virus influenza yang telah sedia ada di dalam persekitaran
    2. Gejala utama adalah demam dan batuk atau sakit tekak serta hidung berair, hidung tersumbat, sakit otot, sakit kepala, menggigil (chills) dan keletihan. Gejala-gejala ini juga dikenali sebagai gejala influenza-like-illness (ILI)
    3. Kebiasaanya jangkitan ini sembuh dengan sendiri dalam tempoh dua minggu dan pesakit akan memperolehi imuniti terhadap jangkitan ini
    4. Jangkitan ini adalah lebih berbahaya jika ia berlaku dalam kalangan inidividu yang mempunyai penyakit sampingan yang lain seperti asthma, diabetes, penyakit paru-paru kronik , obesiti dan kegagalan organ.
  • Common Cold

    1. Disebabkan oleh berbagai jenis virus
    2. Gejala utama adalah hidung tersumbat/hidung berair/bersin/sakit tekak/gatal tekak/batuk dan pesakit mungkin mengalami demam
    3. Gejala ini lebih ringan daripada seasonal flu dan biasanya pesakit sembuh dalam masa 3-10 hari
  • Pharyngitis / radang tekak

    1. Kebiasaannya ia disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus di bahagian tekak
    2. Gejala utama adalah sakit tekak dan demam
    3. Kebiasaannya ia memerlukan rawatan antibiotik dan rawatan simptomatik seperti ubat demam/sakit tekak dan sebagainya
  • Pneumonia/ jangkitan paru-paru

    1. Kebiasaanya ia disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus di dalam paru-paru
    2. Gejala utama adalah demam/batuk berkahak/sukar bernafas
    3. Pesakit perlu mendapat rawatan di hospital

2.

Apakah itu penyakit Influenza A (H1N1)?

Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A(H1N1).

Virus influenza ini adalah sejenis virus yang baru dan terhasil daripada reassortment (percampuran) genetik virus influenza babi, burung dan manusia.


3.

Kenapa virus baru H1N1 ini sering dikaitkan dengan “swine flu” (selesema babi)?

Virus ini dikenali sebagai selesema babi (swine flu) kerana berdasarkan ujian awal makmal ia menunjukkan kebanyakan gen virus ini adalah sama seperti gen virus selesema babi yang berasal dari Amerika Utara.

Walau bagaimanapun kajian terperinci menunjukkan bahawa ia adalah sejenis virus baru yang berbeza dengan virus selesema babi sedia ada.

4.

Negara mana yang dilanda penyakit ini?

Maklumat yang ada pada masa ini menunjukkan bahawa kes yang terawal dijangkiti virus ini dilaporkan dari Mexico dan Amerika Syarikat pada April 2009 dan telah terus menular ke negara-negara lain.

Untuk maklumat terkini tentang negara-negara yang dilanda penyakit ini, sila rujuk laman web http://www.who.int/en

5.

Apakah gejala virus ini?

Gejala jangkitan virus influenza A(H1N1) adalah serupa dengan gejala selesema bermusim (influenza-like-illness) termasuk demam; batuk, sakit tekak dan gejala lain seperti selesema, sakit badan, sakit kepala, badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga individu yang dijangkiti virus ini mengalami cirit-birit dan muntah.

6.

Bagaimana kita boleh dijangkiti?

Virus ini berjangkit apabila pesakit batuk atau bersin.

Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan-permukaan (surfaces) atau tersebar ke udara. Seseorang boleh dijangkiti sama ada melalui pernafasan; melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.

7.

Bolehkah saya dijangkiti virus H1N1 apabila memakan atau menyediakan babi?

Tidak. Virus H1N1 tidak berjangkit melalui makanan. Individu yang memakan babi atau produk babi tidak boleh dijangkiti oleh virus HIN1. Daging atau produk babi yang dikendalikan dan dimasak dengan betul (160°F/70°C) adalah selamat untuk dimakan.


8.

Apa yang perlu saya lakukan jika saya mengesyaki dijangkiti penyakit ini?

Sekiranya anda berasa tidak sihat atau mengalami gejala selesema:

  • Anda dinasihatkan untuk berada di rumah dan elakkan berada di tempat kerja, sekolah atau tempat sesak
  • Berehat dan meminum banyak air
  • Tutup mulut dan hidung bila batuk dan selesema dan, jika menggunakan tisu, buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah. Bersihkan tangan segera dengan sabun dan air atau bersihkan dengan bahan cuci berasaskan alkohol
  • Jika anda tidak mempunyai tisu ketika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan dengan lengan dan siku anda
  • Gunakan mask bagi mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain di sekeliling anda. Pastikan anda memakai mask dengan cara yang betul
  • Maklumkan keluarga dan rakan mengenai masalah kesihatan yang anda alami dan elakkan berhubung rapat dengan orang lain
  • Seboleh-bolehnya, hubungi pihak kesihatan sebelum ke kemudahan kesihatan bagi membincangkan samada pemeriksaan kesihatan diperlukan
  • Jika perlu mendapatkan rawatan lanjut ataupun gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk/sakit tekak yang berterusan hendaklah segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan

9.

Berapa lamakah orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus ini?

Selagi mereka mempunyai gejala penyakit ini. Biasanya sehingga 7 hari dari tarikh mula mengalami gejala penyakit ini terutamanya semasa demam

Kanak-kanak boleh menyebarkan penyakit ini bagi tempoh yang lebih lama.


10.

Bagaimana anda boleh mengurangkan penularan jangkitan ini?

  • Social distancing iaitu menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta meminimumkan majlis perjumpaan
  • Adab batuk yang baik (cough etiquette)
  • Kebersihan tangan dengan mencuci cara betul dan lebih kerap
  • Pengudaraan dalam rumah yang baik
  • Kes-kes yang berkomplikasi atau yang berisiko tinggi perlu dirawat di hospital. Pendekatan ini akan memastikan impak negatif penularan pandemik dapat diminimakan
  • Mereka yang bergejala ringan, serta tiada masalah kesihatan, digalakkan berehat di rumah dan hanya perlu ke klinik atau hospital apabila gejala menjadi lebih berat.
  • Kehadiran banyak kes bergejala ringan ke klinik boleh membebankan keupayaan klinik untuk merawat kes-kes yang berisiko yang sebenarnya perlu diberi perhatian utama
  • Mereka yang bergejala perlu memakai mask termasuk mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit asthma, obesiti, ibu mengandung, diabetes, dan penyakit kronik paru-paru
  • Majikan dan institusi perlu memantau kehadiran pekerja mereka termasuk mereka yang tidak hadir bertugas kerana sakit
  • Kejadian kes bersimptom influenza perlu dilaporkan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat

11.

Adakah terdapat vaksin khusus untuk melindungi diri daripada Influenza A (H1N1)?

Sehingga kini belum ada vaksin khusus untuk melindungi diri daripada Influenza A (H1N1). Walau bagaimanapun usaha-usaha penghasilan vaksin ini sedang jalankan.

Vaksin sedia ada pada masa ini adalah vaksin influenza bermusim yang TIDAK memberi perlindungan daripada jangkitan influenza A(H1N1).


12.

Terdapatkah ubat untuk merawat penyakit ini?

Buat masa ini terdapat dua jenis ubat antiviral iaitu oseltamivir (Tamiflu®) dan zanamivir (Relenza®) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit ini. Ubat ini hanya diberikan kepada pesakit-pesakit yang dimasukkan ke hospital-hospital tertentu.


13.

Bolehkah antiviral ini mencegah jangkitan influenza A(H1N1) ?

Tidak. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membeli ataupun mengambil antiviral ini bagi tujuan untuk mencegah jangkitan. Pengambilan antiviral yang berleluasa boleh mengakibatkan terjadinya resistan terhadap ubat tersebut. Ini akhirnya mengakibatkan ubat tersebut tidak lagi berkesan untuk merawat jangkitan influenza.


14.

Bolehkah kita ke luar negara?

Buat masa ini, Kementerian Kesihatan menasihatkan kepada mana-mana individu yang ingin membuat perjalanan ke luar Negara terutamanya negara-negara yang terjejas supaya mengambil langkah-langkah pencegahan yang sesuai semasa berada di sana.

Sekiranya anda jatuh sakit sama ada semasa berada di luar Negara atau setelah kembali ke Malaysia, segera dapatkan rawatan doktor.

15.

Kawan saya baru pulang dari salah sebuah Negara yang terjejas, adakah beliau boleh terus hadir ke tempat kerja atau dikenakan tindakan kuarantin. Apakah yang patut saya lakukan sebagai rakan sekerja?

Sebagai seorang warga kerja yang bertanggungjawab, seseorang yang baru pulang dari luar Negara dan sihat tidak dikenakan tindakan kuarantin tetapi beliau perlu memantau kesihatan diri terutamanya gejala demam/batuk/sakit tekak/selesema.

Sekiranya individu tersebut berasa tidak sihat, beliau hendaklah berehat di rumah sekurang-kurangnya dalam tempoh 3-4 hari atau sehingga beliau pulih.

Sementara itu pihak majikan perlu menasihati pekerja mereka yang mempunyai gejala influenza untuk tidak hadir bagi mencegah penularan penyakit ini berlaku di tempat kerja dan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

Pihak majikan juga hendaklah melaporkan sebarang kejadian dalam kalangan pekerja bergejala influenza kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya. Dengan itu adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk membenarkan pekerja yang mengalami gejala-gejala influenza-like-illness untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya pekerja lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini. Pekerja yang mengalami gejala-gejala influenza- like-illness juga berkewajipan untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya pekerja lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini.


16.

Anak saya belajar di salah sebuah institusi/ sekolah yang mempunyai kejadian influenza A(H1N1), apakah yang perlu saya lakukan?

Sekiranya institusi/sekolah ditutup untuk tempoh tertentu, anak tuan hendaklah sentiasa berada di rumah dan memantau kesihatan diri. Pada masa yang sama pihak sekolah tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang aktiviti di dalam tempoh penutupan tersebut

Jika anak tuan mempunyai gejala selesema (influenza-like-illness) yang ringan, beliau perlu sentiasa mengamalkan langkah pencegahan di rumah di samping memantau kesihatan diri menggunakan Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah. Sekiranya gejala berterusan dan bertambah teruk, anak tuan perlu mendapatkan rawatan doktor.

Sekiranya institusi/sekolah anak tuan tidak ditutup, beliau dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan tersebut


17.

Adakah sekolah yang ditutup perlu dibasmi kuman sebelum dibuka semula?

Tidak. Pada umumnya sekolah akan ditutup dalam tempoh seminggu. Perlu diketahui bahawa virus H1N1 ini hanya dapat bertahan di persekitaran dalam tempoh 48 jam.


18.

Apakah yang dimaksudkan dengan penutupan sekolah?

Apabila sesebuah sekolah harian ditutup kerana jangkitan influenza A(H1N1), ia bermakna semua kakitangan termasuk guru dan lain-lain kakitangan sokongan serta pelajar dikehendaki untuk berada di rumah.

Ia bertujuan bagi mencegah penularan jangkitan dan seterusnya memastikan individu yang mengalami gejala-gejala influenza-like-illness untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya orang lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini.


19.

Kalau seseorang pesakit positif H1N1 dan telah sembuh, adakah beliau boleh hadir ke tempat kerja seperti biasa?

Ya, beliau boleh hadir ke tempat kerja seperti biasa. Secara umumnya seseorang pesakit yang telah mendapat rawatan lengkap, tidak akan menjangkiti orang lain.


20.

Bolehkah saya mendapatkan refund ticket sekiranya saya ingin membatalkan perjalanan ke Negara yang terjejas.

Sekiranya anda ingin membatalkan tiket penerbangan sila dapatkan pengesahan kesihatan daripada doktor yang berdekatan. Perlu diingatkan bahawa individu yang mempunyai penyakit sampingan yang lain mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan influenza A(H1N1) yang lebih teruk.


21.

Apakah yang dimaksudkan dengan jangkitan manusia yang berterusan (sustained human to human transmission)?

Penularan jangkitan influenza A(H1N1) berlaku secara berterusan dalam kalangan manusia dan punca jangkitan tersebut tidak dapat dikenalpasti

22.

Apakah yang dimaksudkan dengan Fasa Mitigasi

Aktiviti mitigasi adalah tindakan membendung wabak pandemik H1N1 di Malaysia dengan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab batuk yang sesuai.

Strategi utama fasa ini adalah untuk mengurangkan kesengsaraan dan kematian akibat penyakit ini, melambatkan jangkitan penyakit dan mengurangkan kesan terhadap gangguan perkhidmatan utama.


23.

Berapa lama virus ini boleh hidup di atas permukaan objek? (seperti buku dan tombol pintu)?

Kajian menunjukkan virus influenza boleh bertahan pada permukaan objek dan menjangkiti orang antara tempoh 2 hingga ke 8 jam.


24.

Apa yang boleh memusnahkan virus influenza?

Virus influenza boleh dimusnahkan dengan kepanasan [75-100°C]. Selain itu, bahan kimi pemusnah kuman, termasuk klorin, hirogen peroksida, bahan cuci (sabun), iodophors (antiseptik berasaskan iodin), dan alkohol adalah berkesan terhadap virus influenza, jika digunakan dengan sukatan dan tempoh masa yang betul. Sebagai contoh, bahan pengelap atau jel beralkohol boleh digunakan untuk membersihkan tangan. Jel ini perlu digosok pada tangan sehingga ia kering.


25.

Apakah permukaan objek yang mudah menjadi punca jangkitan?

Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh objek yang dijangkiti kuman dan kemudiannya menyentuh mata, hidung atau mulut. Titisan cecair (batuk atau bersin) daripada individu yang dijangkiti tersebar melalui udara. Kuman boleh tersebar bila seseorang menyentuh titisan cecair pernafasan pesakit yang terlekat pada permukaan objek seperti meja, sebagai contoh, dan kemudiannya memegang mata, hidung atau mulut mereka sendiri sebelum membasuh tangan.


26.

Adakah pekerja asing yang baru pulang daripada tanah air mereka perlu menjalani saringan atau pemeriksaan kesihatan?

Tidak. Pihak majikan perlu menasihatkan mereka untuk mengamalkan langkah pencegahan dan memaklumkan kepada majikan jika mengalami gejala influenza-like illness.

Bagi maklumat lanjut, sila hubungi Bilik Gerakan CPRC Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03–8881 0200/0300 atau e-mel ke cprc@moh.gov.my

Horlick 1, Nescafe 1

Cikgu... saya ada teka teki.. Apa dia horlick satu , nescafe satu ( sambil ketawa hehehihihihuhuhh )

Itulah nama glamer untuk H1N1 , atau nama lain yang biasa digunakan ialah selsema babi.
Setakat ini, berita terkini adalah seperti laporan berikut -->

Dimaklumkan sehingga 17 Ogos 2009 jam 9.00 pagi sejumlah 284 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad dan 33 pesakit yang disahkan H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara. Daripada 33 kes yang sedang menerima di ICU, di dapati 17 kes mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (8), asma (3), obesiti (2), kecacatan otak (2), hamil (1) dan post-delivery (1).

Untuk makluman sebanyak 2 kematian telah dilaporkan. Maklumat mengenai kematian tersebut adalah seperti berikut:

  1. Seorang bayi lelaki berumur 7 bulan yang juga pengidap asma, dimasukkan ke ICU hospital pada 7/8/09 kerana demam, batuk dan sesak nafas selama 2 hari. Bayi tersebut telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada hari sebelumnya. Rawatan antiviral telah dimulakan pada 8/08/09 dan disahkan jangkitan H1N1 pada 12/08/09. Walau bagaimanapun, bayi tersebut telah meninggal dunia pada 15/8/09 disebabkan oleh severe pneumonia with acute respiratory failure.

  2. Seorang wanita warga emas berumur 74 tahun yang mengidap diabetes dan kegagalan jantung (CCF) telah dimasukkan ke hospital pada 10/8/09 setelah didapati pengsan di rumahnya. Pesakit telah dilaporkan mengalami demam dan batuk sejak 8/8/09 (2 hari sebelum kemasukan ke hospital) dan rawatan antiviral telah dimulakan pada 11/8/09. Walau bagaimanapun beliau telah meninggal dunia pada 12.08.09 disebabkan oleh severe pneumonia. Kes telah disahkan positif influenza A(H1N1) pada 13/08/09.

Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan influenza A(H1N1) yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularan influenza A(H1N1), sila beri perhatian wajar atas perkara berikut:

  1. Menasihatkan orang ramai yang mempunyai simptom influenza walaupun ringan untuk tidak mengunjungi tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah, melancong, pergi ke tempat kerja atau sekolah serta menaiki kenderaan awam. Perbuatan ini boleh menularkan jangkitan influenza A(H1N1) kepada orang awam dan kebimbangan adalah jangkitan kepada mereka dari kumpulan berisiko.

  2. Mereka yang bersimptom influenza perlu memahami bahawa walaupun simptom yang dialami adalah ringan, virus H1N1 masih boleh disebarkan kepada orang lain apabila mereka ini batuk atau bersin. Oleh itu sesiapa yang mempunyai simptom influenza mesti berada di rumah atau jangan mengunjungi tempat awam, tempat kerja atau sekolah sehingga tiada bersimptom lagi.

  3. Walau bagaimanapun sekiranya mereka yang bersimptom perlu juga melakukan aktiviti luar rumah yang amat mustahak, mereka mesti memakai topeng muka dan mengamalkan kebersihan diri sepanjang masa.

Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan sekali lagi bahawa rawatan antiviral hanya diberikan kepada 3 kumpulan berikut tanpa perlu menjalani ujian pengesahan influenza A(H1N1):

  1. Individu yang mempunyai simptom influenza-like illness (ILI) dan mempunyai faktor risiko.

  2. Individu yang mempunyai simptom ILI, tanpa mempunyai faktor risiko tetapi mempunyai demam yang tinggi (>38°C) berpanjangan (lebih daripada 2 hari).

  3. Individu yang telah menjalani ujian “rapid test” serta didapati positif, mereka akan diberikan rawatan antiviral jika mengalami simptom jangkitan menjadi teruk dalam masa 48 jam.

Orang ramai juga terus diminta untuk sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03­88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 17 Ogos 2009