Sertai survey untuk faedah bersama.

Survey atau bancian ini terbuka kepada semua warga SK Merbau Miri, baik guru, staf sokongan, pelajar dan para ibubapa. Ini penting bagi membantu pihak sekolah memberikan khidmat yang terbaik dan selesa kepada para pelajar terutamanya. Jadi sertailah bancian atau blog poll yang diadakan. Semoga ianya bermanfaat untuk semua warga SK Merbau Miri.

Adakah anda tahu peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling ?

Selasa, 25 Ogos 2009

Selamat Berpuasa

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman


Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang
perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama.
Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas
di dalam ayat 183 dari surah Al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan
keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang
bertanya kepada Nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat
Lailatul Qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa
meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala Ramadhan kerap
kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurangan perihatinan umat Islam
kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan
kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal
puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja,
merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau
melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari
itu. (Fiqh As-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama
baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di
dalam sebuah hadith, Ertinya : "Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal
puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat Al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.
Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat
keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi S.A.W. malah bercanggah
dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu
terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6
terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan
sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi S.A.W.
(Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu
lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara
waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah
ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu
mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang
sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat
di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir
sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936).
Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma
sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan
boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia
melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang
maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah
rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keIslaman seseorang. Justeru,
'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu
menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas
suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang
lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding
solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi
S.A.W. bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala
menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah
mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang
itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan
bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana
yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka,
Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan
alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat
ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya
memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini


9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.
Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan
tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ;
Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur. Ini adalah
kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang
di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah
hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran
sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk
imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakati ulama
merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh).
(As-Siyam, DrMd'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata
apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya
kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga
masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah
adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi
jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi S.A.W. telah
menyebut :- Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka,
pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di
zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir :
Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan
hadith.

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir
berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753,
Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Selasa, 18 Ogos 2009

Topeng punya hal

Jadikan cerita ini tauladan ...hehehe cikgu pun pernah buat silap. Yang berwarna tu di hala kat luar...

Memandangkan wabak H1N1 yang semakin menular, maka semua pegawai di ofis saya sepakat menggunakan topeng. Memang agak merimaskan tapi sekurang-kurangnya ia mampu mengurangkan risiko mendapat jangkitan. Mula-mula pakai topeng agak kecoh jugaklah. Sebenarnya bukanlah ada apa pun.... tapi saya yang menyebabkan suasana jadi kecoh.... heheh...

Memandai-mandai saya cakap yang cara dia orang pakai topeng tu tak betul. Kata saya, sepatutnya yang berwarna hijau tu dihalakan ke muka manakala yang berwarna putih pula di sebelah luar. Masa ni masing-masing dah keliru. Tapi sorang kawan beria-ia menidakkan kata-kata saya. Kata dia, apa yang saya beritahu tu tak betul. Untuk menguatkan hujahnya, di cakap, semasa dia melalui Hospital Ampang, dia nampak doktor dan nurse juga memakai dengan yang berwarna hijau di sebelah luar. Saya pula tak nak kalah. Saya cakap, mungkin masa tu dia silap tengok... (saja nak bagi dia marah.... hehehe...)

Baru sekejap ni saya tergerak hari nak check kat internet. Saja nak tengok... cara pemakaian yang betul. Hasilnya... heheh... memang saya salah...)

Bersatu Menentang Influenza H1N1

Influenza A(H1N1) : Panduan Menilai Tahap Kesihatan Diri Di Rumah

Secara amanya demam selesema boleh sembuh dengan sendiri. Namun begitu, anda perlu mendapatkan rawatan SEGERA di hospital jika anda mengalami mana-mana tanda dan gejala berikut :

  1. Masalah pernafasan : sesak nafas, semput, warna bibir bertukar menjadi biru/ungu
  2. Batuk berdarah atau kahak berdarah
  3. Sakit dada berterusan
  4. Cirit-birit atau muntah yang kerap
  5. Demam berterusan melebihi 3 hari ataupun demam berulang selepas tiga hari pulih
  6. Berkelakuan tidak normal, keliru, kurang responsif kepada rangsangan atau sawan
  7. Rasa pening apabila berdiri
  8. Kurang kencing

Influenza A(H1N1) : Panduan Penjagaan Kesihatan Diri Di Rumah

Jangkitan virus influenza A(H1N1) telah menular di kalangan masyarakat kita dan sesiapa sahaja berisiko dijangkiti virus ini. Oleh hal yang demikian, setiap anggota masyarakat perlu mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelak virus ini dari terus merebak dan mengancam kesihatan kita semua.

Sekiranya anda berasa tidak sihat atau mengalami gejala selesema (influenza-like-illness), anda dinasihatkan untuk berada di rumah dan tidak pergi ke tempat kerja, sekolah atau mana-mana tempat awam.

Semasa berada di rumah, anda dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah berikut :

A. Penjagaan Kesihatan Diri Di Rumah

  • Jika demam makan ubat paracetamol mengikut dos yang disyorkan.
  • Demam yang telah reda tidak bermaksud anda telah sembuh tetapi boleh membuatkan anda berasa lebih selesa. Patuhi arahan pada label ubat. Dapatkan nasihat pengamal perubatan tentang ubat yang disarankan, sukatan yang sesuai, kesan sampingan ubat dan bila pengambilan perlu dihentikan.
  • Berehat secukupnya.
  • Banyakkan pengambilan cecair (termasuk air mineral, bubur, isotonik, jus buah-buahan dan sup) bagi mengelakkan dehidrasi.
  • Sekiranya mengalami tanda-tanda kecemasan seperti di Perkara (C) segera dapatkan rawatan doktor.
  • Pastikan pengudaraan yang baik di rumah (contohnya membuka tingkap di bilik, dapur, tandas dan bilik mandi).

B. Nasihat Untuk Pesakit Dan Ahli Keluarga Bagi Mengawal Jangkitan Di Rumah

  1. Amalkan adab batuk yang baik
    Pesakit mesti mengamalkan adab batuk yang betul. Gunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Cuci tangan dengan sabun dan air atau bahan pencuci tangan berasaskan alkohol. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah.
  1. Tingkatkan penjagaan kebersihan diri
    Pesakit dan semua ahli keluarga mesti mengambil langkah-langkah berikut :
    • Kerap mencuci tangan dengan sabun dan air atau bahan cuci tangan berasaskan alkohol.
    • Keringkan tangan dengan tisu atau tuala yang berasingan untuk setiap ahli keluarga.
    • Cuci pinggan-mangkuk dan peralatan lain serta permukaan-permukaan yang kerap disentuh, dengan menggunakan bahan pencuci yang biasa digunakan di rumah.
  1. Jangan kongsi peralatan peribadi
    Peralatan seperti pinggan-mangkuk dan kain seperti tuala, cadar dan selimut tidak boleh dikongsi oleh ahli keluarga pesakit. Semua barangan ini perlu dicuci dengan sabun dan air.
  1. Menjarakkan diri (Penjarakan Sosial - Social Distancing)
    • Pesakit dinasihatkan supaya tidak meninggalkan rumah sehingga mereka sembuh, lazimnya selama 7 hari.
    • Pesakit seboleh-bolehnya diminta tinggal di bilik berasingan.
    • Ahli keluarga, khususnya yang cenderung mendapat komplikasi (khususnya ibu hamil) seboleh-bolehnya hendaklah menjarakkan diri daripada pesakit sekurang-kurangnya (1) meter untuk menggelakkan jangkitan.
    • Sekiranya pesakit terpaksa keluar rumah contohnya, untuk mendapatkan rawatan beliau hendaklah memakai penutup mulut dan hidung (mask), mengamalkan adab batuk yang baik dan kerap mencuci tangan.

C. Panduan Menilai Tahap Kesihatan Diri Di Rumah

  • Secara amanya demam selesema boleh sembuh dengan sendiri. Namun begitu, anda perlu mendapatkan rawatan SEGERA di hospital jika anda mengalami mana-mana tanda dan gejala berikut :

    1. Masalah pernafasan : sesak nafas, semput, warna bibir bertukar menjadi biru/ungu
    2. Batuk berdarah atau kahak berdarah
    3. Sakit dada berterusan
    4. Cirit-birit atau muntah yang kerap
    5. Demam berterusan melebihi 3 hari ataupun demam berulang selepas tiga hari pulih
    6. Berkelakuan tidak normal, keliru, kurang responsif kepada rangsangan atau sawan
    7. Rasa pening apabila berdiri
    8. Kurang kencing

Jangkitan Influenza A(H1N1) Di Sekolah Atau Institusi

  1. Anak saya belajar di salah sebuah institusi/ sekolah yang mempunyai kejadian influenza A(H1N1), apakah yang perlu saya lakukan?

    Sekiranya institusi/sekolah anak tuan DITUTUP untuk tempoh tertentu, anak tuan hendaklah sentiasa berada di rumah dan memantau kesihatan diri. Pada masa yang sama pihak sekolah tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang aktiviti di dalam tempoh penutupan tersebut

    Jika anak tuan mempunyai gejala selesema (influenza-like-illness) yang ringan, beliau perlu sentiasa mengamalkan langkah pencegahan di rumah di samping memantau kesihatan diri menggunakan Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah. Sekiranya gejala berterusan dan bertambah teruk, anak tuan perlu mendapatkan rawatan doktor.

    Sekiranya institusi/sekolah anak tuan TIDAK DITUTUP, beliau dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan tersebut

  2. Apakah yang dimaksudkan dengan penutupan sekolah/ institusi?

    Apabila sesebuah sekolah/institusi ditutup kerana jangkitan influenza A(H1N1), ia bermakna semua pelajar termasuk guru dan lain-lain kakitangan sokongan dikehendaki untuk berada di rumah.

    Ia bertujuan bagi mencegah penularan jangkitan infuenza A(H1N1) dan seterusnya memastikan individu yang mengalami gejala-gejala influenza-like-illness untuk berehat di rumah sehingga pulih supaya orang lain tidak terdedah kepada jangkitan Influenza A(H1N1) ini.

  3. Adakah sekolah yang ditutup perlu dibasmi kuman sebelum dibuka semula?

    Tidak. Pada umumnya sekolah akan ditutup dalam tempoh seminggu. Perlu diketahui bahawa virus H1N1 ini hanya dapat bertahan di persekitaran dalam tempoh 48 jam.

  4. Kalau seseorang pesakit positif H1N1 dan telah sembuh, adakah beliau boleh hadir ke sekolah seperti biasa?

    Ya, beliau boleh hadir ke sekolah seperti biasa. Secara umumnya seseorang pesakit yang telah mendapat rawatan lengkap, tidak akan menjangkiti orang lain.

Fakta Mengenai H1N1

Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian.

Sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini, untuk membendung wabak pandemik di Malaysia (to slow down the spread), aktiviti kawalan dan pencegahan yang sedia-ada akan diteruskan melalui langkah-langkah pencegahan dan mitigasi. Langkah pencegahan dan mitigasi ini perlu diambil bagi memastikan kes-kes yang berisiko dikenal pasti dan diambil tindakan awal untuk mengelakkan komplikasi. Orang ramai adalah diminta untuk sama-sama mengambil bahagian dalam menangani pandemik ini.

Aktiviti-aktiviti yang sedia ada akan dikaji dari masa ke semasa untuk memastikan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan yang cekap dan berkesan agar penularan kes di Malaysia dapat dikurangkan ke tahap yang minima.

Apa itu Fasa Mitigasi (Peredaan)

Aktiviti mitigasi adalah tindakan membendung wabak pandemik H1N1 di Malaysia dengan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab batuk yang sesuai.

Strategi utama fasa ini adalah untuk mengurangkan kesengsaraan dan kematian akibat penyakit ini, melambatkan jangkitan penyakit dan mengurangkan kesan terhadap gangguan perkhidmatan utama.

Siapakah yang berisiko tinggi akibat jangkitan Influenza A (H1N1)?

  1. Kanak-kanak berusia kurang 5 tahun

  2. Individu berusia 65 tahun dan ke atas

  3. Kanak-kanak dan remaja (<>
  4. Wanita mengandung

  5. Dewasa dan kanak-kanak dengan asma, penyakit pernafasan kronik obstruktif, kegagalan organ, penyakit kardiovascular, hepatik, heamatologikal, neurologik, neuromuscular atau masalah metabolik seperti Diabetes Mellitus

  6. Dewasa dan kanak-kanan yang mengalami daya ketahanan yang rendah (immunosuppression)

  7. Individu yang menginap di rumah kebajikan dan institusi penjagaan yang lain

Peranan Masyarakat Semasa Fasa Mitigasi

Masyarakat perlu mengetahui cara virus ini merebak.

  • Influenza A (H1N1) virus berjangkit dari manusia kepada manusia melalui titisan cecair, (yang dikeluarkan semasa bercakap, batuk atau bersin).

  • Mana-mana individu yang berhubung rapat (lebih kurang 1 meter) dengan individu yang mengalami gejala selesema (demam, bersin, batuk, hidung berair, menggigil, sakit sendi dan lain-lain adalah berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit akibat dari titisan cecair.

  • Oleh itu, masyarakat perlu mengambil langkah pencegahan berikut:

    1. Amalkan kebersihan diri dan adab batuk yang betul

    2. Amalkan kawalan jangkitan sama ada di rumah, tempat kerja atau pengangkutan awam

    3. Peranan penutup mulut dan hidung (mask) dalam masyarakat

      • Tiada bukti kukuh mengenai keberkesanan memakai mask di tempat awam. Namun, ia telah digunakan dalam ruang yang sesak/tertutup apabila berhubung dengan individu yang mengalami gejala selesema

      • Individu boleh memakai penutup mulut dan hidung (surgical mask) di rumah dan di kalangan masyarakat, terutamanya jika mereka berhubung rapat dengan individu yang mengalami gejala influenza, contohnya semasa menjaga ahli keluarga yang sakit.

      • Penggunaan mask membolehkan individu yang mengalami gejala influenza untuk menutup mulut dan hidung mereka bagi menghalang titisan cecair dari tersebar, salah satu kaedah adab batuk yang betul/baik.

      • Surgical mask juga disyorkan kepada golongan yang berisiko tinggi apabila berada di kawasan yang sesak.

    4. Pesakit dinasihatkan untuk tinggal di rumah, elakkan berhubung rapat dengan ahli keluarga yang lain serta mengambil langkah kawalan dan pencegahan dari menjangkiti mereka yang menjaga pesakit.

    5. Sekiranya gejala influenza semakin teruk, pesakit hendaklah SEGERA mendapatkan rawatan di hospital.

    6. Sekiranya individu yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi mengalami gejala influenza, segera dapatkan rawatan awal

    7. Elakkan berada di kawasan sesak dan seboleh-bolehnya tangguhkan/ batalkan / kurangkan menghadiri majlis keramaian

    8. Dapatkan maklumat terkini mengenai situasi semasa dari sumber yang boleh dipercayai seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)