Sertai survey untuk faedah bersama.

Survey atau bancian ini terbuka kepada semua warga SK Merbau Miri, baik guru, staf sokongan, pelajar dan para ibubapa. Ini penting bagi membantu pihak sekolah memberikan khidmat yang terbaik dan selesa kepada para pelajar terutamanya. Jadi sertailah bancian atau blog poll yang diadakan. Semoga ianya bermanfaat untuk semua warga SK Merbau Miri.

Adakah anda tahu peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling ?

Ahad, 11 April 2010

Khasiat Kismis : Episode 2

KISMIS lazimnya popular ketika musim perayaan untuk dijadikan campuran kek, biskut atau mufin tetapi mungkin kurang dijadikan sajian ringan seharian.

Barangkali ia dianggap kurang mengenyangkan namun hakikatnya, kismis memang kaya dengan pelbagai khasiat, menjadikannya sesuai bukan saja untuk kanak-kanak malah golongan dewasa.

Menurut pakar pemakanan klinikal, Tan Yen Sing, khasiat kismis meliputi pelbagai aspek termasuk dari segi kandungan kalori dan antioksidan serta membantu penjagaan gigi.

"Kismis adalah sumber antioksidan yang baik manakala pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin penuh membantu menyediakan perlindungan daripada beberapa masalah berkaitan penuaan.

"Antioksidan didapati pada kismis dikenali sebagai catechin adalah daripada keluarga antioksidan yang sedia diserap. Bahan terbabit membantu untuk meningkatkan kesihatan usus besar. Selain kismis, ia boleh ditemui dalam epal dan anggur serta minuman seperti coklat dan teh.

"Selain itu, kismis menyediakan kandungan potassium dan serat. Ia turut mengandungi fruktosa iaitu gula buah semula jadi iaitu sumber tenaga yang baik," katanya pada sesi taklimat mengenai kebaikan kismis yang didatangkan dari California, Amerika Syarikat, di ibu negara, baru-baru ini.

Untuk mereka yang prihatin mengenai penjagaan berat badan, kismis tidak mengandungi sodium, lemak mahupun kolesterol apatah lagi ia mudah dijadikan sajian seharian.

Bagi mendapatkan kandungan serat yang baik, disarankan pengambilan dua sajian kismis setiap hari. Menurut anggaran, suku cawan kismis bersamaan dengan satu sajian buah-buahan.

Menurutnya, kismis juga boleh membantu untuk memerangi masalah plak gigi dan penyakit gusi.

Berdasarkan kajian Kolej Pergigian, Universiti Chicago, kismis mengandungi bahan 'phytochemical' yang menyekat pertumbuhan bakteria di dalam mulut. Ini sekali gus membantu mengurangkan masalah penyakit gusi dan kerosakan gigi manakala kajian turut menunjukkan tiga daripada empat orang dewasa yang berusia melebihi 35 tahun dilaporkan mengalami beberapa bentuk penyakit gusi.

Jika sering memikirkan kuih-muih sebagai sajian ringan, kismis juga boleh dijadikan sajian ringan yang menarik kerana ia adalah sumber tenaga yang baik.

"Ia mengandungi kira-kira 35 peratus fruktosa dan 35 peratus glukosa. Fruktosa adalah bentuk gula semula jadi yang mudah dihadam untuk mendapatkan tenaga segera. Malah, ia menyediakan sumber tenaga berterusan berbanding snek seperti donut," katanya.

Bagi Pengarah Pendidikan, Institut Sumber Kanak-kanak Malaysia, Ruth Liew, pemilihan makanan yang sihat mampu dijadikan tabiat yang akan berkekalan seumur hidup mereka.

"Misalnya, menyediakan sajian menyihatkan seperti kismis untuk kanak-kanak bukan saja memudahkan ibu bapa memandangkan kurangnya waktu persediaan sajian terbabit malah ia menyediakan khasiat diperlukan kanak-kanak.

"Pemakanan yang baik sememangnya menyediakan permulaan yang baik untuk kehidupan awal kanak-kanak justeru, ia penting bagi ibu bapa membuat pilihan tepat untuk anak mereka.

"Ramai mungkin tidak menyedari kismis boleh memberikan kesan secara tidak langsung dalam membina hubungan keluarga yang lebih erat malah ia boleh dijadikan tabiat seumur hidup mereka.

Menurutnya, potensi pembelajaran kanak-kanak sememangnya mengagumkan dan ini banyak bergantung kepada perkembangan otak kanak-kanak terutama di tahun awal kehidupan mereka.

"Kismis misalnya, boleh memainkan peranan secara tidak langsung dalam meningkatkan kesejahteraan anak. Ibu bapa perlu menyediakan waktu berkualiti untuk mengeratkan jalinan kemesraan bersama anak mereka.

"Sajian mudah menggunakan kismis bukan saja menjimatkan masa malah membolehkan ibu bapa meluangkan lebih waktu untuk anak mereka," katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengarah Promosi Perdagangan Jawatankuasa Pentadbiran Kismis, Richard Lieu.

1 ulasan:

  1. Kismis telah diperakui baik untuk pembelajaran. Jadi, para ibu bapa, belikan kismis untuk membantu meningkatkan prestasi dan menyokong usaha pembelajaran anak-anak.

    BalasPadam